Cara bertayammum

      
 Tayammum antara salah satu kemudahan yang telah Allah berikan pada hambaNya. Sungguh Allah Maha Tahu, jadi Dia telah menyediakan cara yang sebaiknya untuk mengharuskan kita melakukan ibadah tanpa sebarang kesulitan. Oleh itu, tiadalah alasan untuk katakan sakit/cedera atau tiada air bagi mengelak atau melengah-lengahkan untuk mendirikan ibadah solat. Solat itu wajib kita dirikan walau dalam apa keadaanpun.  Untuk melakukan ibadah solat perlulah berwudhu dahulu. Disebabkan kesulitan yang dialami untuk membolehkan kita berwudhu maka adalah tayammum ni sebagai jalan penyelesaian. So, mari kita lihat apa sebenarnya tayammum dan tatacaranya... (^_^) 

A.    Erti Tayammum

Tayammum dari segi bahasa ialah qasad (mensahajakan). Tayammum ialah suatu kemudahan yang diberikan oleh Allah S.W.T. kepada umat Islam untuk dilakukan semasa menghadapi keadaan yang menghalang daripada berwudu’ atau mandi wajib disebabkan ketiadaan air atau kerana sakit bagi mengharuskan melakukan ibadah.

Tayammum pada syara’ ialah menyapu muka dan kedua belah tangan meliputi siku dengan debu tanah yang bersih mengikut syarat-syarat yang tertentu. Ia difardukan sebagai ganti wudu’ atau mandi wajib .


B.    Dalil Perintah Tayammum

Kemudahan tayammum menunjukkan bahawa sembahyang lima waktu sehari semalam wajib dikerjakan oleh setiap orang Islam sekalipun mereka sedang sakit atau dalam ketiadaan air untuk bersuci dari hadas kecil atau hadas besar.

Maksud Hadis :

Dari Huzaifah r.a, katanya : Rasulullah s.a.w bersabda: …..dan (di antara keistimewaan yang diberikan Allah Taala kepada kami ialah) dijadikan bumi ini seluruhnya sebagai tempat sembahyang untuk kami, dan tanahnya pula dijadikan untuk kami sebagai alat untuk bersuci apabila kami tidak mendapat air.
( Riwayat Muslim )

Hadis ini menyatakan sebahagian dari keistimewaan dan kemudahan beribadat yang diberikan oleh Allah S.W.T. kepada junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. dan umatnya berbanding dengan nabi-nabi terdahulu dan umat mereka masing-masing.

C.    Sebab-sebab Diharuskan Bertayammum

i. Apabila tiada air atau ada air tetapi hanya mencukupi untuk keperluan makan minum.
ii. Tidak dapat menggunakan air disebabkan penyakit yang dihidapi atau merbahaya bila dikenakan air.
iii. Apabila penggunaan air boleh membahayakan kesihatan dan nyawa.

D.    Bahan Untuk Bertayammum

Debu tanah yang bersih ialah:
i.                 Tanah dalam pelbagai warna seperti merah atau hitam. Sekiranya bercampur pasir mesti mengandungi kandungan debu.
ii.                Tidak dikategorikan sebagai abu.
iii.              Suci dan tidak bernajis.
iv.             Tidak musta’mal.
v.               Tidak bercampur tepung atau kapur atau pasir yang tidak berdebu.

Tidak boleh bertayammum dengan menepuk meja atau dinding kerana tidak mengandungi debu tanah.

E.    Hikmah Bertayammum

Memberi kemudahan dalam mengerjakan ibadah ketika tidak dapat menggunakan air atau ketiadaan air.

F.    Syarat-Syarat Sah Bertayammum

i.                 Menghilangkan najis terlebih dahulu.
ii.                Tanah debu yang suci.
iii.              Bukan dari debu tanah yang musta’mal (yang telah digunakan).
iv.              Ada qasad / niat penggunaan tanah.
v.               Menyapu muka dan dua tangan hingga ke siku dengan dua kali tepuk. Tepukan pertama bagi muka dan tepukan kedua bagi tangan.
vi.              Pastikan terlebih dahulu arah kiblat.
vii.            Bertayammum apabila telah masuk waktu solat sahaja.
viii.           Satu tayammum bagi satu solat fardu dan beberapa solat sunat.

G.   Rukun Tayammum

i.                 Berniat ketika memindahkan debu sehingga menyentuh sebahagian muka. Sahaja aku bertayammum kerana mengharuskan fardu sembahyang kerana Allah Ta’ala .
ii.                Menyapu Muka.
iii.              Menyapu Tangan.
iv.              Tertib.


H.    Cara Bertayammum

i.                Menepuk dua tapak tangan pada debu kali pertama untuk menyapu muka.
ii.             Berniat : Sahaja aku bertayammum kerana mengharuskan fardu sembahyang kerana Allah Ta’ala. Masa niat : Ketika mula memindahkan debu dan sehingga menyentuh sebahagian muka.
iii.            Menyapu muka.
iv.            Selesai menyapu muka.
v.     Menepuk dua tangan ke debu pada kali kedua untuk menyapu tangan. (Sebelum menepuk kedua tapak tangan kali kedua, hendaklah dibersihkan kedua tapak tangan terlebih dahulu dari debu tanah yang telah digunakan).

vi.              Menyapu tangan kanan dari belakang tapak tangan kanan dengan empat perut jari tangan kiri dari hujung jari (selain ibu jari) hingga naik ke siku.
vii.            Menyapu tangan kanan dari siku hingga ke hujung ibu jari.
viii.          Menyapu tangan kiri dari belakang tapak tangan dengan empat perut jari tangan kanan (selain ibu jari) dari hujung jari hingga ke siku.
ix.              Menyapu tangan kiri dari siku hingga ke hujung ibu jari.

Catatan:

(a) Untuk menyapu tangan , wajib ditanggalkan cincin , jam tangan dan gelang sekiranya debu tidak sampai di bawahnya. Jika sampai debu, maka sunat sahaja menanggalkannya.
(b) Sunat menipiskan debu tanah pada tapak tangan sebelum disapukan
ke anggota tayammum.

I.      Perkara-Perkara Sunat Semasa Bertayammum

i.                 Membaca بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم ketika mula menepuk.

ii.                Menyapu muka dari atas ke bawah.
iii.              Mendahulukan menyapu tangan kanan dari kiri.
iv.              Menipiskan penggunaan debu seperti dengan cara menepuk dua tepi tangannya.
v.               Menjarangkan anak jari ketika menepuk debu.
vi.              Menyelati anak-anak jari jika debu telah mengenai di antara anak-anak jarinya. Jika tidak mengenai debu di antaranya wajiblah diselati.
vii.            Jangan diangkatkan tangan ketika menyapu kecuali telah sempurna menyapunya.
viii.           Mengadap kiblat.
ix.              Melebihi sapuan daripada bahagian yang wajib disapunya.
x.               Sunat menanggalkan cincin yang dipakai bagi tepukan yang pertama.
xi.              Membaca doa wudu’ setelah selesai tayammum.
xii.            Tidak menyapu lebih daripada sekali.
xiii.           Menghilangkan saki baki debu tanah yang disapu pada anggota tayammum pada telapak tangan.
xiv.          Mendahulukan menyapu tangan kanan dari yang kiri.
xv.            Melakukannya dengan berturut-turut.

J.     Perkara-Perkara Yang Membatalkan Tayammum.

i.                 Apabila berlaku salah satu perkara yang membatalkan wudu’.
ii.                Air diperolehi sebelum memulakan sembahyang bagi mereka yang bertayammum kerana ketiadaan air.
iii.              Hilangnya merbahaya kerana sakit atau sebagainya.
iv.              Keluar dari agama Islam (murtad).

  

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

AYAT LIMA Pendinding Diri

SABAR ITU INDAH

Percaya atau tidak, perbuatan geletek boleh membunuh?