SABAR ITU INDAH

"Bersabarlah..." Erti lainnya, "Bertahanlah.."

Ujian datang bertimpa-timpa, siapalah yang tidak runtun hatinya, bagai hendak menghamburkan segala sesak yang bersarang di dada, selepas satu, datang satu lagi, baru hendak menghela nafas lega tiba lagi ujian, sudahlah jatuh ditimpa tangga pula. Pasti wujud rasa putus asa, terbeban, rasa tidak kuat untuk teruskan, andailah semua ini segera berakhir. Memang benci dan muak mendengar perkataan 'sabar'! Tetapi itulah yang perlu kita lalui dalam kehidupan ini. Ujian itu tanda Allah kasih dan ingat akan kita. Allah hendak menghadiahkan pelangi setelah hujan. 

Sabar itu indah, meskipun payah..itulah perjuangan diri untuk tetap bertabah supaya tidak mudah melatah dengan ujian. Sabar itu separuh dari iman..agar tidak terperosok dengan perasaan putus asa dari rahmat Allah, kerana sabar itu adalah mentaati perintah Allah.

Meskipun ujian silih berganti, hadapilah dengan sabar dan tenang, kerana sesungguhnya orang yang bersabar adalah orang-orang yang dicintai Allah. 



Sesungguhnya Sabar itu separuh dari iman, jika kita mampu bersabar dan menghadapinya dengan tenang maka sempurnalah separuh dari agama, begitulah. Saat itu juga pasti kita dapati bawa Allah memberi balasan nikmat atas perjuangan sabar itu. Kita pasti akan dapat rasakan bahawa Allah memberi ganti yang lebih baik dari sebelumnya.

Sesungguhnya Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang sabar dengan balasan yang lebih baik daripada amalnya dan melipatgandakannya tanpa terhintung. Firmat-Nya: Ertinya:

"Dan sesungguhnya Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik daripada yang telah mereka kerjakan." [An-Nahl: 96]

"Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas." [Az-Zumar: 10]

Begitulah firman Allah, pasti Allah akan hadiahkan pahala bagi mereka yang bersabar. Jadi, apa jua keadaan pun berusahalah untuk tetap bersabar. Teruskan berjuang untuk sabar di samping berusaha dengan berserah diri kepada Allah. Sekadar duduk bersabar tanpa usaha dan keberserahan diri kepada Allah tiada gunanya, adalah lebih baik kita usaha, contohnya sekiranya gagal dalam sesuatu pekerjaan, keinginan, atau impian, bangkit cuba lagi, gagal lagi, cuba lagi, gagal sekali bukanlah gagal selamanya, sebaliknya adalah permulaan untuk menuju kejayaan. Kejayaan itu bukan hanya di dunia sahaja, bahkan kejayaan di akhirat kelak. Itu yang kita mahukan!

Jadi untuk SABAR, saya terfikir sesuatu yang boleh saya kongsikan. Iaitu:

S - Syukur walau apa jua keadaan sekalipun.
A - Amal sifat sabar dengan berilmu.
B - Bantuan / Pertolongan Allah pasti akan tiba.
A - Akhlak terpuji menjadi hiasan diri pada orang yang sabar.
R - Redha adalah kunci ketenangan hidup.

Semoga perkongsian kali ini dapat memberi manfaat buat kita semua. Saya mendoakan buat kita semua, semoga Allah pinjamkan kita kekuatan dalam perjuangan, semoga kita semua semakin bertambah ilmu dan semakin dekat kepada Dia Yang Maha Pengasih, semoga Allah melipatgandakan pahala asbab dari sabarnya kita dalam menghadapi ujian dari-Nya. Aamiin Ya Mujib.

Salam Anugerah Kebaikan,
Salam Perjuangan,
Salam Muhasabah Diri.

Terima Kasih.

Elil Husna

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

AYAT LIMA Pendinding Diri

Percaya atau tidak, perbuatan geletek boleh membunuh?