Jangan Pernah Mengalah
28 Mei 2020 | Khamis
Salam sejahtera buat diri yang diamuk kesedihan. Gembira atau sedih itu adalah pilihan. Manusia telah Allah kurniakan nikmat akal fikiran, sewajarnya sebagai manusia yang waras perlu menggunakan nikmat akal fikiran ini sebaiknya. Pilihan ada di tangan sendiri. Sama ada memilih untuk tetap bersedih mahupun bangkit penuh semangat menikmati keindahan sebuah kehidupan yang singkat ini.
Persoalannya, kenapa harus membiarkan diri dizalimi oleh diri sendiri? Mungkin faktor orang sekeliling dan persekitaran itu boleh menjadi punca diri menjadi tertekan. Tapi mengapa kita sebagai manusia waras perlu melayan perasaan sehingga hanyut di dalam kesedihan? Sedangkan begitu banyak lagi hal di dunia ini yang ternyata amat indah untuk dinikmati.
Sedarlah wahai hati, hal itu terlalu kecil untuk diperbesarkan. Masih banyak lagi hal yang lebih besar di luar sana yang perlu dihadapi. Perangilah perasan hiba itu, pasakkan di dalam minda bahawa tiada satu pun hal yang mampu merobek segumpal darah yang bernama hati di dalam tubuh ini. Pilihan ada di tangan ini, kita berkuasa untuk mengendali diri kita sendiri dengan berkat nikmat izin Allah. Jangan dipersiakan untuk hal yang tidak sedikitpun memberi manfaat buat diri.
Muhasabah diri, alihkan perhatian untuk terus dekat dan mencintai Sang Pencipta Yang Maha Agung. Pasti kebahagiaan hakiki akan dinikmati kelak.
#MuhasabahDiri #AnugerahKebaikan
Pena : Elyuna A.G
Ulasan
Catat Ulasan