Salam Ukhwah

"Sebaik-baik manusia ialah orang yang dapat memberi manfaat kepada orang lain." (Hadis riwayat Al-Qudhi) Semoga perkongsian bermanfaat. InsyaAllah....

Tags

Cerita (7) Cinta (2) Diari Rasa (34) Doa (16) emosi (17) Hadis (10) Hukum (7) ilmu (34) Kata Hikmah (9) Kesihatan (10) Lagu/Nasyid (4) Lawak (2) Nasihat (46) Pendapat (12) Perkahwinan (3) Petua (11) Puisi (3) resepi (9) Solat (5) Universiti (12) Wanita (10) ZIKIR (1)

Kembali

Assalamualaikum.

Pemulaan kembali daripada sesuatu yang terhenti. Keliru, hendak dicoretkan apa setelah bertahun lamanya ruangan ini tidak diisi, apatah lagi untuk menjengah. Segalanya tersekat dipertangahan jalan, seakan semangat hilang melayang. Mencari-cari ke mana pergi diri yang berjiwa kental dan bijak mengalihkan kedukaan kepada sesuatu yang bermanfaat buat diri dan orang lain.

Kini terpanggil semula ke alam penulisan. Tak mengapalah siapapun yang membacanya, namun inilah sebuah perkongsian. Mungkin tidak secara jelas, cukuplah terluah segala yang terbeban dalam segumpal darah yang bernama hati.

hmmm...Tetapi, masih memikirkan apa sebenarnya yang ingin disampaikan. Jari ini seangkat tidak menentu menari-nari menekan papan kekunci laptop ini, menaip kemudian memadamnya semula, seakan-akan semuanya tidak tentu arah sebagaimana hati dan fikiran yang bercelaru. Benarlah kata para ilmuan bahawa manusia ini ego sebenarnya, dia tahu bagaimana mengubat keresahan tetapi berpaling dan menidakkan. Tahu jawapannya agar kembali kepada Pencipta, dekatkan diri kepada Allah, isi kekosongan hati dengan ayat-ayat-Nya dan pujian-pujian kepada-Nya. Tetapi dia tidak berbuat demikian, atas tujuan apakah dia menanggung keresahan. Bukankah itu suatu kezaliman, menzalimi diri yang membiarkan diri hanyut dalam kesedihan. Apabila pelbagai persoalan dituju hanya cucuran air mata yang mampu diluahkan. Merasa diri mampu menghadamkan segala keperitan kerana mengerti apalah sangat yang dilalui ini berbanding mereka yang jauh tidak bernasib baik. Sentiasa berbaik sangka, Allah sudah susun segalanya dengan cantik. Pasti akan ada hikmah setelah ujian hadir menerpa. 

Untuk kali ini, sampai di sini sahaja dapat dicoretkan. Kelihatan penulisan yang sangat tergantung, seolah-olah tiada mesej/moral yang ingin disampaikan. Namun, inilah bukti kecelaruan. Jika diizinkan Allah tatkala berlapang dada dan terbukanya minda, pasti akan ada perkongsian yang lebih bermanfaat daripada saya kelak. 

Akhir kata, terima kasih kepada yang sudi singgah di laman saya. 

Sekian.




Cara bertayammum

      
 Tayammum antara salah satu kemudahan yang telah Allah berikan pada hambaNya. Sungguh Allah Maha Tahu, jadi Dia telah menyediakan cara yang sebaiknya untuk mengharuskan kita melakukan ibadah tanpa sebarang kesulitan. Oleh itu, tiadalah alasan untuk katakan sakit/cedera atau tiada air bagi mengelak atau melengah-lengahkan untuk mendirikan ibadah solat. Solat itu wajib kita dirikan walau dalam apa keadaanpun.  Untuk melakukan ibadah solat perlulah berwudhu dahulu. Disebabkan kesulitan yang dialami untuk membolehkan kita berwudhu maka adalah tayammum ni sebagai jalan penyelesaian. So, mari kita lihat apa sebenarnya tayammum dan tatacaranya... (^_^) 

A.    Erti Tayammum

Tayammum dari segi bahasa ialah qasad (mensahajakan). Tayammum ialah suatu kemudahan yang diberikan oleh Allah S.W.T. kepada umat Islam untuk dilakukan semasa menghadapi keadaan yang menghalang daripada berwudu’ atau mandi wajib disebabkan ketiadaan air atau kerana sakit bagi mengharuskan melakukan ibadah.

Tayammum pada syara’ ialah menyapu muka dan kedua belah tangan meliputi siku dengan debu tanah yang bersih mengikut syarat-syarat yang tertentu. Ia difardukan sebagai ganti wudu’ atau mandi wajib .


B.    Dalil Perintah Tayammum

Kemudahan tayammum menunjukkan bahawa sembahyang lima waktu sehari semalam wajib dikerjakan oleh setiap orang Islam sekalipun mereka sedang sakit atau dalam ketiadaan air untuk bersuci dari hadas kecil atau hadas besar.

Maksud Hadis :

Dari Huzaifah r.a, katanya : Rasulullah s.a.w bersabda: …..dan (di antara keistimewaan yang diberikan Allah Taala kepada kami ialah) dijadikan bumi ini seluruhnya sebagai tempat sembahyang untuk kami, dan tanahnya pula dijadikan untuk kami sebagai alat untuk bersuci apabila kami tidak mendapat air.
( Riwayat Muslim )

Hadis ini menyatakan sebahagian dari keistimewaan dan kemudahan beribadat yang diberikan oleh Allah S.W.T. kepada junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. dan umatnya berbanding dengan nabi-nabi terdahulu dan umat mereka masing-masing.

C.    Sebab-sebab Diharuskan Bertayammum

i. Apabila tiada air atau ada air tetapi hanya mencukupi untuk keperluan makan minum.
ii. Tidak dapat menggunakan air disebabkan penyakit yang dihidapi atau merbahaya bila dikenakan air.
iii. Apabila penggunaan air boleh membahayakan kesihatan dan nyawa.

D.    Bahan Untuk Bertayammum

Debu tanah yang bersih ialah:
i.                 Tanah dalam pelbagai warna seperti merah atau hitam. Sekiranya bercampur pasir mesti mengandungi kandungan debu.
ii.                Tidak dikategorikan sebagai abu.
iii.              Suci dan tidak bernajis.
iv.             Tidak musta’mal.
v.               Tidak bercampur tepung atau kapur atau pasir yang tidak berdebu.

Tidak boleh bertayammum dengan menepuk meja atau dinding kerana tidak mengandungi debu tanah.

E.    Hikmah Bertayammum

Memberi kemudahan dalam mengerjakan ibadah ketika tidak dapat menggunakan air atau ketiadaan air.

F.    Syarat-Syarat Sah Bertayammum

i.                 Menghilangkan najis terlebih dahulu.
ii.                Tanah debu yang suci.
iii.              Bukan dari debu tanah yang musta’mal (yang telah digunakan).
iv.              Ada qasad / niat penggunaan tanah.
v.               Menyapu muka dan dua tangan hingga ke siku dengan dua kali tepuk. Tepukan pertama bagi muka dan tepukan kedua bagi tangan.
vi.              Pastikan terlebih dahulu arah kiblat.
vii.            Bertayammum apabila telah masuk waktu solat sahaja.
viii.           Satu tayammum bagi satu solat fardu dan beberapa solat sunat.

G.   Rukun Tayammum

i.                 Berniat ketika memindahkan debu sehingga menyentuh sebahagian muka. Sahaja aku bertayammum kerana mengharuskan fardu sembahyang kerana Allah Ta’ala .
ii.                Menyapu Muka.
iii.              Menyapu Tangan.
iv.              Tertib.


H.    Cara Bertayammum

i.                Menepuk dua tapak tangan pada debu kali pertama untuk menyapu muka.
ii.             Berniat : Sahaja aku bertayammum kerana mengharuskan fardu sembahyang kerana Allah Ta’ala. Masa niat : Ketika mula memindahkan debu dan sehingga menyentuh sebahagian muka.
iii.            Menyapu muka.
iv.            Selesai menyapu muka.
v.     Menepuk dua tangan ke debu pada kali kedua untuk menyapu tangan. (Sebelum menepuk kedua tapak tangan kali kedua, hendaklah dibersihkan kedua tapak tangan terlebih dahulu dari debu tanah yang telah digunakan).

vi.              Menyapu tangan kanan dari belakang tapak tangan kanan dengan empat perut jari tangan kiri dari hujung jari (selain ibu jari) hingga naik ke siku.
vii.            Menyapu tangan kanan dari siku hingga ke hujung ibu jari.
viii.          Menyapu tangan kiri dari belakang tapak tangan dengan empat perut jari tangan kanan (selain ibu jari) dari hujung jari hingga ke siku.
ix.              Menyapu tangan kiri dari siku hingga ke hujung ibu jari.

Catatan:

(a) Untuk menyapu tangan , wajib ditanggalkan cincin , jam tangan dan gelang sekiranya debu tidak sampai di bawahnya. Jika sampai debu, maka sunat sahaja menanggalkannya.
(b) Sunat menipiskan debu tanah pada tapak tangan sebelum disapukan
ke anggota tayammum.

I.      Perkara-Perkara Sunat Semasa Bertayammum

i.                 Membaca بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم ketika mula menepuk.

ii.                Menyapu muka dari atas ke bawah.
iii.              Mendahulukan menyapu tangan kanan dari kiri.
iv.              Menipiskan penggunaan debu seperti dengan cara menepuk dua tepi tangannya.
v.               Menjarangkan anak jari ketika menepuk debu.
vi.              Menyelati anak-anak jari jika debu telah mengenai di antara anak-anak jarinya. Jika tidak mengenai debu di antaranya wajiblah diselati.
vii.            Jangan diangkatkan tangan ketika menyapu kecuali telah sempurna menyapunya.
viii.           Mengadap kiblat.
ix.              Melebihi sapuan daripada bahagian yang wajib disapunya.
x.               Sunat menanggalkan cincin yang dipakai bagi tepukan yang pertama.
xi.              Membaca doa wudu’ setelah selesai tayammum.
xii.            Tidak menyapu lebih daripada sekali.
xiii.           Menghilangkan saki baki debu tanah yang disapu pada anggota tayammum pada telapak tangan.
xiv.          Mendahulukan menyapu tangan kanan dari yang kiri.
xv.            Melakukannya dengan berturut-turut.

J.     Perkara-Perkara Yang Membatalkan Tayammum.

i.                 Apabila berlaku salah satu perkara yang membatalkan wudu’.
ii.                Air diperolehi sebelum memulakan sembahyang bagi mereka yang bertayammum kerana ketiadaan air.
iii.              Hilangnya merbahaya kerana sakit atau sebagainya.
iv.              Keluar dari agama Islam (murtad).

  

SOLAT SUNAT KERANA NIKAH



Mungkin ramai yang melihat sesudah majlis akad nikah kebanyakkan mempelai lelaki akan solat sunat dua rakaat dan ada juga kedua-duanya sekali. Tapi solat apakah yang dilakukannya…? Solat sunat syukur mungkin. Ada juga yang berkata itu adalah solat sunat pengantin atau solat sunat nikah. [sumber]

Adakah solat sunat khusus untuk selepas nikah ya? Menjawab persoalan ini sebenarnya tidak ada solat khusus yg dinamakan solat sunat nikah. Cuma ada hadis Ibn Mas'ud (HR Ibn Abi Syaibah dengan Isnad Hasan) yang menyatakan sunat solat dua raka'at bersama isteri di malam pertama di mana suami menjadi Imam kepada isteri. Tujuan solat itu memohon keberkatan Ilahi supaya sejahtera perkahwinannya dunia dan akhirat.

Solat sunat nikah ini boleh dilakukan sejurus selepas nikah atau pada waktu-waktu yang sesuai. Waktu yang terbaik boleh dilakukan solat sunat nikah berjemaah bersama isteri iaitu ketika isteri datang menemui suami. Riwayat daripada Abu Said, ada menyebutkan bahawa sahabat lain mengajarnya mengenai solat sunat nikah ini, katanya:

“Jika isterimu nanti datang menemuimu, hendaklah kamu berdua solat dua rakaat. Lalu mintalah kepada Allah kebaikan isterimu itu dan mintalah perlindungan kepadaNya daripada keburukannya. Seterusnya terserah kamu berdua.” (Riwayat Ibnu Abi Syaibah)
.

Ulamak fiqh membenarkan solat sunat yang bersebab dilakukan di waktu yang dilarang, justeru harus (dibolehkan) bersolat sunat nikah walaupun ia dilakukan seperti pada selepas solat Asar kerana sebab bernikah.

 Ia dilakukan sebanyak dua rakaat sahaja dan dituruti dengan sujud syukur.

Cara perlaksanaany:

a)     Lafaz niatnya:
“Usolli sunnatal ‘ursi rak’ataini lillahi Ta’ala.AllahuAkbar”
Ertinya: Sahaja aku Solat Sunat Kahwin (nikah) dua rakaat kerana Allah Taala.”

Ada juga yang melafazkan niat sebegini:
“Usolli sunnata ba’dan nikahi rak’ataini lillahi Ta’ala”Allahu Akbar“
Ertinya: Sahaja aku solat sunat sesudah nikah dua rakaat kerana Allah . [sumber]

b)    Rakaat pertama: Membaca surah Al-Faatihah dan surah Al-Kafiruun
c)    Rakaat kedua Membaca surah Al-Faatihah dan surah Al-Ikhlas membaca doa selepas salam.


 SUJUD SYUKUR SELEPAS SALAM.

Kemudian, selepas salam dilakukan pula Sujud Syukur, ataupun boleh juga selepas akad terus dilakukan Sujud Syukur terlebih dahulu tanpa mengerjakan Solat Sunat Nikah tersebut yang ditangguhkan pada sebelah malam nanti. Ia terpulang kepada kesesuaian dan keselesaan individu dan pasangan tersebut untuk melakukannya.


MEMBACA DOA NIKAH

Membaca doa nikah yang bersesuaian atau boleh dibaca contoh di dalam bahasa Melayu berikut:


MEMEGANG UBUN-UBUN ISTERI DAN MENGUCAPKAN LAFAZ DOA
“Apabila salah seorang di antara kamu menikahi seorang wanita atau membeli seorang budak, hendaklah ia memegang ubun-ubun isteri atau budak tersebut sambil menyebut nama Allah ‘Azza wa Jalla dan berdoa meminta berkah untuknya. Hendaklah ia mengucapkan:

"Wahai Allah, aku memohon kepada-Mu munculnya kebaikan darinya dan dari segala apa yang Engkau ciptakan pada dirinya; dan aku berlindung kepada-Mu dari keburukannya dan dari segala apa yang Engkau ciptakan pada dirinya.’


Dianjurkan kepada seorang suami meletakkan tangannya di ubun-ubun si isteri ketika pertama kali mendekatinya. Ubun-ubun adalah bahagian puncak kepala. Si suami hendaklah meletakkan telapak tangan kanannya atas puncak kepala isteri (biasanya selepas bersolat sunat berjemaah bersama-sama di malam pertama) dan bacakan doa memohon kepada Allah agar perkahwinannya mendapatkan berkah.

Hadis riwayat daripada Abu Daud dan Ibnu Majah, disebutkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 

Atau berdasarkan hadits:

Ketika membeli unta hendaklah seseorang memegang punuknya seraya berdoa seperti itu.”
 (HR Al Bukhari dalam kitab Af’al Al’ibad hlm. 77) [sumber]



 

KEUTAMAAN SELAWAT NABI SAW.

Assalamualaikum sahabat…

Pengisian kali ini adalah mengenai KEUTAMAAN SELAWAT NABI SAW. Mengucapkan selawat kepada Nabi Muhammad SAW merupakan salah satu penghormatan dan kecintaan seorang muslim terhadap baginda. Selawat ke atas Rasulullah SAW ini dianjurkan di dalam  Al-Quran, sebagaimana fimanNya:

Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikatnya berselawat atas Nabi (dari Allah bererti memberi rahmat dan dari malaikat bererti memohonkan ampunan) Hai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadaNya.”

Mencintai Nabi hendaklah kita dahulukan daripada mencintai diri sendiri dan keluarga. Dengan demikian barulah tergambar kecintaan kita terhadap Allah SWT.  Rasulullah bersabda maksudnya:

“Tidaklah, salah seorang dari kamu benar-benar beriman sebelum mencintai melebihi anaknya, orang tuanya dan manusia seluruhnya.”

Terdapat keutamaan selawat Nabi SAW, iaitu:

1)      Bersama Nabi Pada Hari Kiamat
Rasulullah SAW bersabda:
“Didiklah kepada anak-anakmu mengenai tiga perkara: Cinta kepada Nabimu, cinta kepada kepada ahli bait dan cinta membaca Al-Quran. Kerana sesungguhnya orang yang hafal Al-Quran  kelak di hari kiamat dalam  naungan  rahmat Allah di mana pada hari itu sama sekali tidak ada naungan melainkan naunganNya serta para Nabi dan pilihanNya saja.”
(Riwayat, Abu Narshr Asy Syairazi, Ad Dailami dan Ibnu Majah dari Ali ra.)

2)      Menyempurnakan Iman
Rasulullah SAW bersabda:
“Tidak sempurna iman seseorang dari kamu sehingga aku lebih dicintai daripada dirinya sendiri, dan ahli keluargaku lebih dicintainya daripada ahlinya, anaknya cucuku lebih dicintainya daripada anak cucunya dan keturunanku lebih dicintainya daripada ia mencintai keturunannya.”
(Riwayat Thabrani dan Baihaqi Abdurrahman bin Abi Laila)

3)      Selawat Penghubung Doa
Rasulullah SAW bersabda:
“Setiap doa adalah terhalang sehingga berselawat atas nabi SAW.”
(Riwayat, Ad Dailami dari Anas ra)

4)      Memperoleh Kedudukan yang Utama
Rasulullah SAW bersabda:
“Bahawasanya seutama-utama manusia atau orang terdekat denganku pada hari kiamat adalah mereka yang lebih banyak berselawat kepadaku.”
(Riwayat An Nasa’I dan Ibnu Hibban dari Ibnu Mas’ud ra.)

5)      Diangkat Sepuluh Darjat
Rasulullah SAW bersabda :
“Sesiapa yang berselawat kepadaku satu kali, maka Allah berselawat kepadanya sepuluh kali selawat, dan Allah menghapukan sepuluh kesalahan dan mengangkat sepuluh darjat kepdanya.”  (Riwayat Ahmad, Nasa’I dan Hakim dari Anas ra.)

6)      Rasulullah Menjawab Salam Umatnya
Rasulullah SAW bersabda:
“Tiadak dari seorang yang mengucapkan salam kepadaku melainkan Allah menerima rohku  sehingga sehingga aku menjawab salam padanya.”
(Riwayat Abu Daud dari Abi Hurairah ra.)

7)      Memperoleh Syafaat Di Hari Kiamat
Rasulullah SAW bersabda:
Siapa yang berselawat kepadaku pada waktu pagi sepuluh kali dan waktu petang sepuluh kali, maka ia akan memperoleh syafaatku pada hari kiamat.”
(Riwayat, Thabrani dari Abu Darda ra.)

8)      Disampaikan Hajat
Rasulullah SAW bersabda:
Barangsiapa berselawat kepadaku dalam sehari seratus kali, maka Allah mendatangkan baginya seratus hajat, yang tujuh puluh untuk akhiratnya dan tiga puluh untuknya di dunia.”
(Riwayat, Ibnu najar dari Jabir ra.)

9)      Digembirakan Dengan Syurga
Rasulullah SAW bersabda:
“Siapa yang berselawat kepadaku dalam sehari seribu kali, maka ia tidak akan mati sehingga ia bergembirakan dengan syurga.”
(Riwayat, Abusy Syaekh dari Anas ra.)

10)   Ganjaran Selawat Kepada Nabi Yang Lain
Rasulullah SAW bersabda:
“Berselawatlah kepada para nabi Allah dan utusanNya sebagaimana kamu semua berselawat kepadaku, sebab mereka itu utusan sebagaimana aku diutus.”
(Riwayat Ahmad dan Al Khatib dari Abi Hurairah ra.)

11)   Dekat dengan Rasulullah SAW
Rasulullah SAW bersabda:
“Perbanyakkanlah membaca selawat kepadaku pada setiap hari Jumaat, sebab selawat untukku dipintakan kepadaku setiap hari Jumaat. Maka siapa yang paling banyak selawatnya kepadaku, maka ia orang yang terdekat di antara mereka kepadaku akan tingkatannya.”
(Riwayat Baihaqi dari Abu Umamah ra.)

12)   Diberi Cahaya Pada Hari Kiamat
Rasulullah SAW bersabda:
“Siapa yang berselawat kepadaku di hari Jumaat seratus kali, maka ia datang di hari kiamat dengan  cahaya. Andaikata dibagi antara makhluk semuanya maka cahaya itu akan memenuhinya.”
(Riwayat Abu Nu’aim dari Ali bin Husain ra.)

13)   Berselawat akan Sampai terus kepada Rasulullah SAW
Rasulullah SAW bersabda:
“Di mana saja kamu berada maka berselawatlah kepadaku sebab selawatmu itu akan sampaikan  kepadaku.”
(Riwayat  At Thabrani dari Husain bin Ali ra.)

14)   Dicukupkan Urusan Dunia dan Akhirat
Rasulullah SAW bersabda:
“Siapa berselawat kepadaku di sisi makamku maka aku mendengarnya. Siapa berselawat kepadaku  dari jauh, maka selawat itu diserahkan oleh satu malaikat yang menyampaikan kepadaku. Dan ia cukupkan urusan keduniaan dan akhiratnya, dan aku sebagai saksi  dan pembela baginya.
(Riwayat Baihaqi dan Al- Khatib dari Abi Hurairah ra.)

15)   Diampunkan Dosa
Rasulullah SAW bersabda:
“Siapa berselawat kepadaku pada hari Jumaat dua ratus selawat, maka diampunkan baginya dosa dua ratus tahun.”
(Riwayat Ad-Dailami dari Abi Zar ra.)

Begitulah keutamaan/kepentingannya selawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Marilah bersama-sama kita berselawat ke atas baginda Rasulullah SAW demi menambahkan kecintaan kita kepada  kekasih Allah SWT.

[Rujukan daripada Wirid & Doa Harian Dalam Seminggu oleh Muhammad Isa Selamat]




Rakan Yang Setia