dia
“Kadangkala Allah sembunyikan matahari, Dia datangkan petir dan kilat. Kita menangis dan tertanya-tanya, ke mana menghilangnya sinar. Rupa-rupanya Allah nak hadiahkan kita pelangi…”
Ada yang ingin ku kongsikan di dalam ruangan ini, cerita seorang gadis yang telah kecewa dengan sang lelaki. Menjadi kepantangan dia kerana sang lelaki tidak percayakan kesetiaan kasih yang telah dia hamburkan. Kasih cinta hanya berkekalan setahun cuma. Mungkin ini terjadi tanpa izin Allah terhadap cinta mereka...cinta yang hadir di atas izin syaitan latnatullah, cinta yang dimulai dengan berpegangan tangan antara mereka yang bukan muhrim adalah haram sama sekali.Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
كُتِبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ نَصِيبُهُ مِنْ الزِّنَا مُدْرِكٌ ذَلِكَ لَا مَحَالَةَ فَالْعَيْنَانِ زِنَاهُمَا النَّظَرُ وَالْأُذُنَانِ زِنَاهُمَا الِاسْتِمَاعُ وَاللِّسَانُ زِنَاهُ الْكَلَامُ وَالْيَدُ زِنَاهَا الْبَطْشُ وَالرِّجْلُ زِنَاهَا الْخُطَا وَالْقَلْبُ يَهْوَى وَيَتَمَنَّى وَيُصَدِّقُ ذَلِكَ الْفَرْجُ وَيُكَذِّبُهُ
Maksudnya: Persoalan anak Adam berkaitan zina telah ditentukan. Tidak mustahil, ia pasti melakukannya. Dua mata berzina dengan melihat, dua telinga berzina dengan mendengar, lidah berzina dengan berkata-kata, tangan berzina dengan menyentuh, kaki berzina dengan melangkah, hati berzina dengan angan-angan (kehendak), dan kemaluanlah yang akan membenarkan (merealisasikan) atau mendustakan semua itu. (Hadis Riwayat Muslim, Shohih Muslim, 13/125, no. 4802)
Imam an-Nawawi rahimahullah menjelaskan:
معنى الحديث أن بن آدم قدر عليه نصيب من الزنى فمنهم من يكون زناه حقيقيا بادخال الفرج في الفرج الحرام ومنهم من يكون زناه مجازا بالنظر الحرام اوالاستماع إلى الزنى وما يتعلق بتحصيله او بالمس باليد بأن يمس أجنبية بيده او يقبلها او بالمشي بالرجل إلى الزنى اوالنظر او اللمس او الحديث الحرام مع اجنبية ونحو ذلك او بالفكر بالقلب
Makna: Bahawa setiap anak Adam itu ditakdirkan untuk melakukan perbuatan zina. Di antara mereka ada yang melakukan zina dengan sebenar-benarnya, iaitu dengan memasukkan kemaluannya ke dalam kemaluan wanita secara haram. Di antara mereka ada yang zinanya secara majaz (kiasan), iaitu dengan melihat perkara-perkara yang haram, atau dengan mendengar sesuatu yang mengajak kepada perzinaan dan usaha-usaha untuk melakukan kepada zina, atau dengan sentuhan tangan, atau menyentuh wanita ajnabiyah (yang bukan mahram) dengan tangannya, atau menciumnya. Atau dengan melangkah kaki menuju tempat perzinaan, melihat, menyentuh, atau berkata-kata dengan cara yang haram bersama dengan wanita ajnabiyah (yang bukan mahram), atau berangan-angan (imaginasi/berniat) dengan hatinya. (an-Nawawi, al-Minhaj Syarah Shohih Muslim, 16/206)
Bergitulah dalil-dalil yang telah Allah bekalkan kepada kita tentang hukum pegharaman bersentuhan antara lelaki dan perempuan yang merupakan suatu mukadimah ke arah zina. Berbalik kepada cerita tadi, dek kerana takut akan dalil-dalil berkenaan, dia bertindak melupakan lelaki itu. Namun hati siapa yang tidak tergugat hadirnya kaum adam yang berjaya meleburkan kerasnya hati. Tekad dan sumpahnya kini diuji Allah swt antara kasihnya pada sang kekasih, pada keluarga, atau agamanya. Hati kian lalai asyik masyuk dalam keindahan cinta dusta. Dia bagaikan telah terperangkap dengan kata-kata yang pernah dilafazkan dahulu. Bertahun lamanya dia terperangkap dalam cinta dunia. Kesedaran untuk keluar dari noda itu ada namun, sayangnya dia tidak berdaya, kerana cintanya pada sang kekasih melebihi cintanya pada Allah.
Setiap kali bersujud dia memohon agar diberi petunjuk, mohon agar dia dapat menilai antara kaca permata atau kilauan pasir pantai. Dia tidak pernah lupa meminta agar hadirnya teman yang bisa membimbing dan sentiasa memperingati dirinya agar terus sentiasa berada di jalan Allah, tidak berada dalam keadaan lalai...
Mereka ada, mereka itu wujud, sentiasa menasihatinya, namun segala kata-kata ibarat angin lalu, masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Langsung tidak menusuk sanubarinya. Tatkala berjauhan dengan sang kekasih, hatinya terdetik untuk mengenang kembali perjalanan kisah cinta mereka. Dia sedar dia harus keluar dari cinta yang melalaikan itu. Kerana dia tahu bukanlah sang kekasih itu yang akan menjadi suaminya kelak. Dia mula sedar bahawa belum tentu kasih bertahun itu kan berkekal lama hanya berbekalkan cinta semata tanpa izin Allah swt.
Dia mula nampak akan kesilapannya, Allah sedang menguji sejauhmana kebenaran dan ketulusan hatinya dulu tentang taubat yang pernah dilafazkan. Dia perlu segera bertindak sebelum terlambat sebelum dia terjerumus, terjunam ke dalam gaung. Sebelum dia kehilangan mahkota yang selama ini dia pertahankan. Sebelum kesuciannya diragut. Dia tahu semua itu, namun untuk bertindak dia teramatlah gentar. Bimbang kehilangan sang kekasih dan penyesalan yang bakal memburunya. Ya Allah, berikanlah dia kekuatan Ya Allah. Peliharalah hamba-Mu itu dari kehancuran kerakusan manusia yang tidak berhati perut, perasaan iring hati, dan terhindar dari panahan mata kedengkian manusia. Tentukanlah yang terbaik buatnya Allah.....
“Bukan semua yang anda sangka membahagiakan itu benar-benar membahagiakan. Bahagianya mungkin ada tapi deritanya juga datang sama. Semua benda pasti ada baik dan buruknya.”
Ulasan
Catat Ulasan